SHAH ALAM – Remaja perempuan Malaysia, yang berjaya diselamatkan
oleh polis Thailand pada 19 Mac lepas bersama-sama lima remaja Myanmar,
adalah perancang utama kes penculikan itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata maklumat itu
diperolehi daripada keterangan konsisten lima remaja Myanmar terbabit
ketika disoal siasat selepas dibawa ke negara ini pada Khamis lepas.
“Kesemua remaja Myanmar berkenaan yang berusia antara 14 dan 17
tahun itu memberitahu bahawa remaja perempuan berusia 14 tahun itu
merupakan perancang utama dalam episod kes penculikan itu.
“Mereka turut memaklumkan kepada polis bahawa remaja perempuan itu
memberikan idea supaya memberitahu pihak berkuasa Thailand bahawa
kesemua mereka diculik walaupun berdasarkan kronologi kejadian kesemua
mereka sebenarnya memang merancang perjalanan ke Thailand,” katanya
pada sidang media di sini, Isnin.
Beliau berkata sebaik dihantar oleh ibunya di perhentian bas di
Seksyen 9 di sini pada 30 Jan lepas, remaja perempuan terbabit
menelefon kesemua remaja Myanmar berkenaan dan bertemu di Kompleks
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini.
Katanya, kumpulan remaja itu berpeleseran di sekitar Shah Alam
sehingga pagi sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk ke Seremban
dengan alasan mencari nenek seorang daripada mereka pada 31 Jan, selain
mahu melarikan diri daripada dua individu yang dikenali sebagai Shah
dan Sadiq yang memaksa mereka untuk meminta sedekah.
Zahedi berkata kesemua mereka bagaimanapun dijumpai merayau-raya di
Terminal One, Seremban dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Seremban sebelum dibebaskan keesokan paginya.
“Ketika ditahan di kompleks itu, remaja perempuan itu turut mengaku
dirinya warganegara Myanmar bersama lima yang lain. Mereka kemudian
pulang ke Kuala Lumpur pada 1 Feb dan meminta sedekah sehingga berjaya
mengumpul wang tunai sebanyak RM400.
“Kumpulan remaja berkenaan menggunakan wang berkenaan untuk bermalam
di sebuah hotel murah di Jalan Chow Kit dan membeli tiket bas untuk ke
Rantau Panjang, Kelantan pada 8 pagi 2 Feb lepas dan tiba pada 6 petang
sebelum terus menaiki sampan menyeberangi Sungai Golok, Thailand dan
bermalam di rumah pakcik seorang daripada remaja Myanmar terbabit,”
katanya.
Beliau berkata kumpulan remaja itu kemudian menaiki keretapi menuju
ke Bangkok pada 3 Feb dan berjumpa dengan seorang lagi pakcik seorang
daripada remaja Myanmar terbabit, yang membantu mereka mendapatkan
kerja dengan upah RM20 sehari di sebuah tapak projek.
Pada 11 Mac, Zahedi berkata seorang daripada remaja Myanmar terbabit
mengajak mereka pulang ke Malaysia namun ketika mereka sedang menaiki
keretapi untuk pulang ke Malaysia, kesemua mereka ditahan oleh polis
Thailand di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok.
Beliau berkata rentetan kejadian itu, remaja perempuan berkenaan
bertindak menghubungi ibunya pada 12 Mac dan mendakwa dirinya diculik
oleh sekumpulan lelaki yang menaiki van putih di Seksyen 9 dan dibawa
ke Thailand.
Zahedi berkata siasatan kes itu sudah 90 peratus siap dan esok,
polis dijadual mengambil keterangan keluarga kesemua remaja Myanmar
yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
“Kita jangka kertas siasatan akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua
hingga tiga hari lagi sebelum dimajukan kepada Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah untuk tindakan selanjutnya,”
katanya.
Sementara itu, Zahedi berkata difahamkan kumpulan remaja terbabit
termasuk remaja perempuan itu menjalankan aktiviti kutipan derma secara
haram dan mengenali rapat antara satu sama lain.
Remaja perempuan itu dilaporkan hilang pada 30 Jan lepas selepas
ibunya Norazura Roski, 37, menghantar mangsa yang tinggal di Seksyen 8
di sini ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.
Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 31 Jan selepas anak gadisnya itu
tidak pulang ke rumah.
Remaja perempuan itu bagaimanapun menghubungi ibunya pada 12 Mac
lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan
lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya meloloskan diri
dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua
Lampong, Bangkok. – BERNAMA
Apa yang dapat saya simpulkan ialah ibu bapa perlu lebih teliti dan mengambil berat mengenai setiap aktiviti anak-anak mereka
No comments:
Post a Comment